Friday, April 15, 2011

Petikan Akhbar Sinar Harian: SKMM beri 10,700 netbook percuma kepada pelajar Pulau Pinang

NIBONG TEBAL - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Wilayah Utara (SKMM) akan memberikan komputer Netbook 1Malaysia secara percuma kepada 10,700 pelajar sekolah di Pulau Pinang dalam fasa pertama sumbangannya, bermula hari ini. 

Pengarahnya, Mohd Hussin Ali, berkata pengagihan komputer netbook itu akan dibuat secara berperingkat bermula di sini dan akan diperluas ke seluruh negeri mengikut daerah.
Menurutnya, pemberian itu adalah usaha merapatkan jurang digital di kalangan pelajar bandar dan luar bandar selain memberi peluang golongan pelajar menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 
"Netbook itu perlu dimanfaatkan khususnya bagi meningkatkan pengetahuan digital dan ICT sebagai alat bantuan pembelajaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah di sini. 

Majlis itu dirasmikan oleh Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman. 

Mohd Hussin berkata, bantuan itu juga bertujuan meringankan bebanan ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk membeli komputer kepada anak-anak mereka. 

"Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab pelajar untuk menghargai sumbangan Kerajaan Pusat itu dan menjaga peralatan itu dengan cermat untuk dikongsi bersama dengan anggota keluarga," katanya. 
Menurutnya, pemberian netbook itu juga usaha SKMM untuk membantu matlamat mencapai sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar di kalangan isi rumah menjelang akhir tahun ini termasuk membudayakan ICT agar menjadi gaya hidup rakyat. - Bernama

0 comments:

Post a Comment